Cara Solat Hajat Yang Mustajab Dalam Rumi

Cara solat sunat hajat dengan betul dan lengkap untuk anda ikuti ketika hendak menunaikannya kelak.

Kredit Foto : Shafiqolbu

Apakah solat hajat?

Cara solat hajat adalah pelbagai. Setiap cara ada asas fekah. Solat hajat didirikan bagi memohon kepada Allah swt atas sesuatu hajat, biasanya hajat yang khusus.

Hajat berkenaan boleh dalam bentuk mengharapkan pertolongan Allah swt bagi dikurniakan sesuatu atau memohon kepadaNya agar menolak atau menjauhkan sesuatu yang tidak diingini.

Rasulullah saw menegaskan bahawa, “Sesiapa mempunyai hajat kepada Allah swt atau kepada seorang manusia, maka hendaklah dia berwuduk dengan sebaik-baiknya, kemudian dia bersolat dua rakaat.” Hadis riwayat at-Tarmizi.

Bilakah solat hajat patut dikerjakan?

Solat hajat boleh dilakukan pada bila-bila masa sama ada sebelah siang atau malam, kecuali pada waktu yang diharamkan mendirikan solat.

Ulama menyatakan lebih afdal jika solat hajat didirikan bersendirian di rumah ketika suasana sunyi pada satu pertiga malam.

Ini kerana ia lebih mendatangkan khusyuk dan waktu itu adalah masa yang doa sangat mudah dimakbulkan Allah swt.

Tertibnya mudah. Seseorang yang mahu mendirikan solat hajat perlulah bersugi dan bersuci atau mandi terlebih dahulu.

Kemudian berwuduk dan pakailah pakaian bersih. Lebih afdal jika pakaian berwarna putih.

Lebih afdhal juga, jika didirikan pada satu pertiga malam, ia didahului solat sunat wuduk dan solat sunat Tahajud.

Berapakah jumlah rakaat solat hajat?

Jumlah rakaat solat hajat ialah sekurang-kurangnya dua rakaat dan maksimum 12 rakaat.

Namun, terserah kepada individu masing-masing untuk mengerjakan seberapa banyak rakaat pada satu-satu masa.

Bagaimana Cara Melakukan Solat Hajat?

Solat hajat sepatutnya dilakukan mengikut tertib berikut.

1. Niat. Contoh niat bagi solat hajat ialah “Sahaja aku solat sunat dua rakaat kerana Allah taala”.

2. Rakaat pertama. Baca surah al-Fatihah diikuti surah al-Kafirun atau ayat Kursi (satu atau 10 kali)

3. Rakaat kedua. Baca surah al-Fatihah diikuti surah al-Ikhlas (satu kali atau 10 kali).

4. Sujud akhir. Ketika sujud akhir, bacalah doa Nabi Yunus seperti berikut:

5. Salam. Beri salam dan akhiri dengan selawat dan zikir.

6. Doa. Berdoalah kepada Allah taala. Pohonlah terus kepadaNya apa juga hajat yang dikehendaki.