Cara Solat Dhuha Beserta Ganjaranya

Cara solat dhuha beserta ganjaranya untuk anda amalakan setiap hari, semoga Allah permurahkan rezeki anda

Apa Itu Solat Dhuha?

Solat Dhuha ialah ibadat sunat yang dikerjakan ketika matahari naik sehingga ia mulai condong. Ahli fekah sepakat bahawa cara kira waktu mula solat Dhuha mengikut falak ialah berdasarkan formula waktu Syuruk ditambah satu pertiga perbezaan waktu Syuruk dan waktu Subuh.

Secara purata, waktu Dhuha bermula 28 minit selepas waktu Syuruk. Sila lihat kalendar di lokasi masing-masing mengenai waktu Syuruk.

Waktu akhir solat Dhuha pula ialah kira-kira sembilan minit sebelum masuk waktu solat Zohor, iaitu ketika matahari tegak di atas kepala.

Hukum Solat Dhuha

Walaupun ada sedikit perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai hukum solat Dhuha, pendapat paling tepat serta dipegang jumhur ulama ialah solat Dhuha termasuk sunat muakkad, iaitu sunat yang sangat dianjurkan untuk diamalkan secara rutin.

Rasulullah saw selalu mengerjakannya solat sunat ini, malah menggalakkan para sahabat mengerjakannya.

Ganjaran Solat Dhuha Solat Orang Bertaubat

Solat Dhuha termasuk sejenis solat orang bertaubat, iaitu kategori solat Awwabin juga. Ini bertepatan hadis daripada Zaid bin Arqam bahawa Rasulullah saw ketika keluar menuju tempat ahli Quba’ yang sedang solat Dhuha lalu baginda bersabda bermaksud:

“Solat Awwabin (orang yang taubat) dilakukan ketika terik matahari.” - Hadis riwayat Imam Muslim.

Dicukupkan Rezeki dengan Dhuha

Ini bertepatan hadis daripada Nu’aim bin Hammar yang berkata, “Saya mendengar Rasulullah saw bersabda bahawa Allah berfirman bermaksud:

“Wahai anak Adam, janganlah engkau hingga tertinggal mengerjakan solat empat rakaat pada permulaan siang (waktu Dhuha), nescaya Aku akan memberi kecukupan kepadamu sampai akhir siang.” - Hadis riwayat Imam Abu Dawud.

Dhuha Seperti Amalan Sedekah

Ini bertepatan hadis daripada Abu Dzarr ra yang berkata Nabi Muhammad saw bersabda bermaksud:

“Bagi tiap-tiap ruas anggota tubuh seorang daripada kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih (Subhanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, setiap takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga sedekah, dan mencegah kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat Dhuha. - Hadis riwayat Imam Muslim.

Pahala Dhuha Sebagaimana Mengerjakan Haji dan Umrah

Mereka yang solat Subuh berjemaah lalu tetap berada dalam masjid dengan berzikir kepada Allah serta mengerjakan solat Dhuha pada awal terbit matahari dikira mendapat pahala seperti mengerjakan haji dan umrah juga.

Ini bertepatan hadis daripada Anas ra yang berkata Rasulullah saw bersabda bermaksud:

“Sesiapa solat Subuh berjemaah lalu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat maka dia mendapat pahala sebagaimana pahala haji dan umrah.” - Hadis riwayat al-Tirmidzi.

Tatacara Panduan Solat Dhuha

Tatacara Panduan Solat Dhuha

Tatacara Panduan Solat Dhuha

Jumlah minimum rakaat solat Dhuha ialah dua rakaat dan boleh dilakukan tanpa had rakaat seperti enam, lapan dan 12 rakaat.

Pada rakaat pertama, mulakan dengan niat (di dalam hati) mengerjakan solat Dhuha kerana Allah taala, diikuti takbiratul Ihram, doa iftitah, membaca surah al-Fatihah, kemudian membaca mana-mana surah lain, rukuk, iktidal, sujud, duduk di antara dua sujud, sujud kali kedua dan bangun untuk rakaat kedua.

Pada rakaat kedua pula, ulang seperti rakaat pada rakaat pertama sehingga sujud kali kedua kemudian duduk membaca tahiyyat akhir lalu memberi salam ke kanan dan ke kiri. Itu sahaja.

Doa Solat Dhuha

Kemudian berdoalah dengan doa solat Dhuha bermaksud:

” Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu DhuhaMu, kecantikannya kecantikanMu, keindahannya keindahanMu, kekuatannya kekuatanMu, kekuasaannya kekuasaanMu dan perlindungannya perlindunganMu.

“Ya Allah. jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, Jika di bumi, keluarkanlah, Jika sukar, mudahkanlah, Jika  haram, sucikanlah, Jika jauh, dekatkanlah.

“Berkat waktu Dhuha, kecantikanMu, keindahanMu, kekuatanMu, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan kepada hambaMu yang soleh.”

Solat Dhuha sangat mudah. Apa yang susah ialah untuk melazimkan diri melakukannya setiap hari. Pecahkan kesukaran itu dengan melazimi solat Dhuha mulai sekarang!

REAKSI ANDA?