Cara Solat Dhuha Dalam Rumi/Jawi Dan Fadhilat Jika Anda Menunaikannya

Ini adalah fadhilat solat sunat dhuha serta cara dan doa untuk mengerjakannya yang anda boleh ikuti.

Apa Itu Solat Dhuha?

Solat Dhuha ialah ibadat sunat yang dikerjakan ketika matahari naik sehingga ia mulai condong. Ahli fekah sepakat bahawa cara kira waktu mula solat Dhuha mengikut falak ialah berdasarkan formula waktu Syuruk ditambah satu pertiga perbezaan waktu Syuruk dan waktu Subuh.

Secara purata, waktu Dhuha bermula 28 minit selepas waktu Syuruk. Sila lihat kalendar di lokasi masing-masing mengenai waktu Syuruk.

Waktu akhir solat Dhuha pula ialah kira-kira sembilan minit sebelum masuk waktu solat Zohor, iaitu ketika matahari tegak di atas kepala.

Walaupun ada sedikit perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai hukum solat Dhuha, pendapat paling tepat serta dipegang jumhur ulama ialah solat Dhuha termasuk sunat muakkad, iaitu sunat yang sangat dianjurkan untuk diamalkan secara rutin.

Rasulullah saw selalu mengerjakannya solat sunat ini, malah menggalakkan para sahabat mengerjakannya

1- Merupakan Wasiat Dan Sunnah Rasulullah

Ini bertepatan hadis daripada Abu Hurairah yang berkata, 

“Rasullah SAW berpesan (wasiat) kepadaku dengan 3 perkara yang tidak akan ak tinggalkan hingga akhir hayat iaitu puasa tiga hari setiap bulan, solat Dhuha, dan tidur dalam keadaan sudah mengerjakan solat witir’.” – Hadis Riwayat Bukhari

2- Dinilai Sedekahnya bagi Seluruh Tubuh Manusia

“Diriwayatkan dari Buraidah bahawa ia berkata, Aku telah mendengar Rasulullah bersabda, ‘Pada diri manusia terdapat 363 ruas. Ia memiliki kewajiban bersedekah atas setiap ruas tersebut.’ Para sahabat bertanya, ‘Siapakah yang mampu melakukan hal itu, wahai Rasulullah?’ Baginda bersabda, ‘Ludah di dalam masjid yang ia timbun (dibersihkan) atau sesuatu (penghalang) yang ia singkirkan dari jalanan. Jika engkau belum mampu, dua rakaat solat Dhuha sudah memadai untuk mewakili kewajipanmu bersedekah’.”

Selain itu, solat Dhuha juga adalah sedekah yang setanding dengan bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir, berdakwah dan mencegah kemungkaran.

3- Memperoleh Keuntungan (Ghanimah) Yang Besar

Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang berwudhuk, kemudian masuk ke dalam masjid untuk melakukan solat Dhuha, dialah yang paling dekat tujuanannya (tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat kembalinya.” – Shahih al-Targhib: 666

4- Dibangunkan Sebuah rumah Ketika di Syurga Kelak

Bagi orang yang beriman dan rajin mengerjakan solat Dhuha juga akan dibangunkan sebuah rumah kepadanya di dalam syurga. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW;
“Barangsiapa yang solat Dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan dibangunkan sebuah rumah di syurga.” – Shahih al-Jami’: 634

5- Akan Dicukupkan Rezeki Sepanjang Hari

“Diriwayatkan dari Nu‘aim bin Hammar bahwa ia berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepadaKu dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu’.” – Hadis Riwayat Abu Dawud

6- Mandapat Pahala Seperti Pahala Umrah

Dari Abu Umamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Barang siapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barang siapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.” – Shahih Al-Targhib: 673

7- Mendapat Keampunan Dosa Terdahulu

“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.” – Hadis Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi

Cara Untuk Mengerjakan Solat Dhuha

Cara Untuk Mengerjakan Solat Dhuha

– Jumlah minimum rakaat solat Dhuha ialah dua rakaat dan boleh dilakukan tanpa had rakaat seperti enam, lapan dan 12 rakaat.

– Pada rakaat pertama, mulakan dengan niat (di dalam hati) mengerjakan solat Dhuha kerana Allah taala,

– Diikuti takbiratul Ihram,

– Doa iftitah, membaca surah al-Fatihah, kemudian membaca mana-mana surah lain

– Rukuk

– Iktidal

– Sujud

– Duduk di antara dua sujud,

– Sujud kali kedua dan bangun untuk rakaat kedua.

– Pada rakaat kedua pula, ulang seperti rakaat pada rakaat pertama sehingga sujud kali kedua kemudian duduk membaca tahiyyat akhir lalu memberi salam ke kanan dan ke kiri. Itu sahaja.

DOA KETIKA SELESAI SOLAT DHUHA

Kemudian berdoalah dengan doa solat Dhuha bermaksud:

” Ya Allah, sesungguhnya waktu Dhuha itu DhuhaMu, kecantikannya kecantikanMu, keindahannya keindahanMu, kekuatannya kekuatanMu, kekuasaannya kekuasaanMu dan perlindungannya perlindunganMu.

“Ya Allah. jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, Jika di bumi, keluarkanlah, Jika sukar, mudahkanlah, Jika  haram, sucikanlah, Jika jauh, dekatkanlah.

“Berkat waktu Dhuha, kecantikanMu, keindahanMu, kekuatanMu, kekuasaanMu, limpahkan kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan kepada hambaMu yang soleh.”

Solat Dhuha sangat mudah. Apa yang susah ialah untuk melazimkan diri melakukannya setiap hari. Pecahkan kesukaran itu dengan melazimi solat Dhuha mulai sekarang!

Rujukan :

– TV3 Malaysia Youtube

– HarakahDaily

Share² lah yerr..