Dekorasi Pentas Sempena Hari Anugerah Dengan Menggunakan Bahan Terpakai

Bagaimana kami menjadikan Hari Anugerah Cemerlang SK Sungai Talam Kuantan menjadi sangat menarik dan bermakna.

Dekorasi mudah untuk pentas yang dibuat oleh saya dan tim AJK Pentas bertemakan "Alat Tulis" dan berkonsepkan "Minimal - Less is More"

Bahan-bahan

Bahan-bahan

Inilah bahan utama untuk pensil yang besar tersebut. Saya gunakan botol air mineral, bekas potato chips "Pringles" dan bahagian tengah tisu tandas untuk dibuat pensel.

Tetapi bukan sebarang botol mineral plastik boleh digunakan. Saya pilih yang tegak tanpa lekuk-lekuk beralun. Sebab kalau pilih yang lurus macam ini kesannya akan cantik dan rata bila kita nak balut dengan kertas warna nanti. Jangan guna botol "Coke" atau "100 plus" kerana ia tidak sesuai!

Mencantumkan botol

Mencantumkan botol

Kita boleh laraskan mengikut kepanjangan yang kita mahu. 

Berikut adalah botol-botol yang saya cantumkan. Potong bahagian bawah dan cantumkan pada kepala botol yang satu lagi. Bile cantuman tu betul-betul jatuh elok pada lekuk botol, struktur botol tu akan menjadi lebih kukuh.

Pelajar-pelajar saya pun berebut nak tolong buangkan label pada botol tu.

Membuat Kon

Membuat Kon

Untuk yang ini, saya cantumkan 2 bekas "Perfecto chips" untuk mendapatkan pensil yang lebih panjang.

Bagaimana cara nak buat munjung pensil tersebut?

Saya lakarkan separuh bulatan dan gunting untuk mendapatkan semi bulatan yang membentuk kon.

Saya buat separuh bulatan dalam 3 saiz berlainan mengikut saiz botol mineral dan juga kelongsong tisu tersebut. Bentukkan kon dan cuba acukan pada botol mineral untuk menentukan saiznya.

Menggunting kon

Menggunting kon

Untuk bahagian muncung pensil yang tajam tersebut, saya gunakan "manila card" yang tebal. Saya sengaja memilih warna oren, untuk menampakkan kesan realistik batang kayu pensil tersebut.

Kemudian, potong sedikit bahagian bawah kon supaya bila nak cantumkan antara kon dan botol mineral ia akan kelihatan kemas.

Mencantumkan kon dengan botol

Mencantumkan kon dengan botol

Kemudian, gunakan "selotape" untuk mencantumkan kon tersebut dengan botol mineral.  Kon mestilah diletakkan di tengah-tengah muncung, kalau senget ia akan jadi tidak cantik.

Ini adalah cantuman kon yang kemas pada bekas chips Perfecto. Perhatikan bentuk kon tersebut, rapi dan nampak kukuh.

Anak-anak murid tahun 3 tersayang saya yang tolong buat cantuman kon tu. Lega rasanya. Sambil tolong-tolong buat, diorang pun dapat belajar. Sekurang-kurangnya terisi masa diorang. Biasanya, masa ini akhir tahun, buku teks pun dah pulang jadi tak ada PdP.

Membuat mata pensil

Membuat mata pensil

Ini pula bahagian yang sering ditanyakan oleh ramai orang. Bagaimana nak buat mata pensil tu?

Teknik kon yang sama mcm saya tunjuk awal-awal tadi, cuma untuk mata pensil ni semi bulatan tu kecilkan saiz die. Agak-agak la saiz dia tapi jangan terlampau kecil.

Letakkan semi bulatan tadi pada bahagian yang lebar di tengah-tengah puncak kon dan lekatkan guna gam basah. Gam kan keseluruhan dan lekatkan semua kon kecil tadi pada hujung kon besar. Gam dan lekatkan dengan rapi mengikut lengkung.

Maka terjadilah mata pensel warna yang tajam!!

Kepanjangan mata pensel tu tertakluk kepada saiz separuh bulatan yang anda buat kalau tinggi maka panjanglah mata pensil tersebut.

Dekorasi Pensil

Dekorasi Pensil

Untuk bahagian botol pula, balutkan dengan kertas warna. Saya gunakan kertas warna yang berkilat. Ukur dulu supaya sesuai dgn ketinggian botol dan kelebarannya.

Apabila dah balut, gamkan jadilahseperti gambar dia atas. Saya guna "selotape" untuk cantumkan kertas warna ke botol jadi ia akan melekat dengan kemas. Kemudian gunakan  gam basah untuk mencantumkan tepi-tepi kertas tersebut. Saya tidak galakkan korang menggunakan "glue stick" kerana tak berapa nak lekat.

Saya juga ada buat pensil 2B. Teknik sama cuma balut badannya menggunakan kertas warna kuning kemudian saya potong kertas warna hitam yang berkilat dan tampal. Jadilah replica pensil 2B!!

Kertas balutan tu jangan terlalu panjang. Pastikan ia cukup-cukup dengan hujung bawah botol tersebut. Cuba letak dan tegakkannya.

Saya juga buat pelbagai saiz. Ada yang panjang dan pendek supaya tidak kelihatan skema. 

Pensil pelbagai saiz

Pensil pelbagai saiz

Keesokkan harinya, saya dan AJK pentas memulakan operasi menghias pentas. Kami lekatkan bahagian bawah botol tersebut dengan "double sided tape" supaya ia lebih kukuh dan tidak jatuh.

Kemudian,  kami susun berderet-deret mengikut tinggi/ rendah campur-campur saiz.

Pembaris kayu yang panjang tu memang sengaja kami letakkan begitu. Kenapa?Tak ada apa-apa sebab,  tema pun alat tulis. Pembaris kayu panjang ini pula pinjam dari makmal sains punya!

Dekorasi pada latar belakang

Dekorasi pada latar belakang

Untuk kelongsong ini macam mana nak tampal pada lantai kalau tak ada tapak? Yang ini kami buat aksesori pada belakang tabir. Lekatkan "foam double sided tape" tu pada badan pensil dan lekatkan pada belakang tabir tersebut sebagai hiasan. Jangan risau, ia tidak akan jatuh kerana kelongsong tersebut sangat ringan.  

Pembaris plastik pula boleh dijadikan sebagai aksesori tambhan.  Pembaris adalah ihsan stok Panitia Seni Visual. Manipulasi bahan sedia ada, jimat!

Aksesori tambahan pada belakang tabir adalah sangat ringan. Pemadam tersebut pula, kami guna kotak tisu dan kotak kasut.

Dekorasi Tulisan

Dekorasi Tulisan

Huruf "congratulations" adalah hasil kolaj murid-murid tahun 1. Kebetulan pada masa tu sekolah pula ada buat karnival 'learning is fun'. Setiap subjek ada aktiviti tersendiri. Jadi untuk slot PSV saya terfikir untuk membuat aktiviti kolaj. Sambil murid-murid buat dan berseronok lepas habis peperiksaan. Cikgu-cikgu AJK pentas ni pun mudah, aksesori hiasan pentas dah tersedia.

Sekitar Majlis

Sekitar Majlis

Sedang bersiaran pada hari kejadian sebenar Hari Anugerah Cemerlang sekolah kami.

Alhamdulillah, inilah dia pentas Hari Anugerah Cemerlang kami yang ringkas dan mudah. Tak perlukan banyak modal pun. Sesuailah dengan langkah berjimat sebab bahan-bahan dekorasi kebanyakannya adalah barangan terpakai yang telah diimprovisasikan.

Hasilnya tetap meletup..hihihi.. Kami tak ambil masa yang lama pun menghias. Segalanya jimat masa dan tenaga paling penting nak kemas pun senang! 

Kami guna tema dekorasi ni untuk 3 acara pada hujung tahun lepas. Hari Anugerah Cemerlang , Hari Graduasi Tahun 6 dan juga Orientasi Tahun 1 yang berlansung dalam cuti sekolah. Hampir sebulan kami biarkan di dewan. Selesai sahaja orientasi tahun 1 baru kami kemas. Semoga menjadi inspirasi pada rakan-rakan guru yang lain.

Selamat mencuba kepada rakan-rakan guru. Saya Risha Mazlan selaku mastermind 'Pensil Gergasi' berharap semoga perkongsian ilmu saya ini digunapakai dan dipanjang-panjangkan. 

Saya halalkan semoga bermanfaat untuk semua. Ikhlas dari saya.

Sekian. Terima Kaseyyyyhhhhh. 

Artikel Asal

REAKSI ANDA?